Saturday, July 25, 2009

selamat bjaya, MALAYSIA tcinta

PROTON Holdings Bhd melancarkan model terbarunya, Exora di Indonesia dengan sasaran menjadikan republik berkenaan sebagai pasaran eksport terbesar bagi kenderaan pelbagai guna (MPV) keluarannya itu dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pelancaran MPV Proton itu dibuat pada hari pertama Indonesia International Motorshow 2009 di Jakarta semalam. Ia disempurnakan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Zainal Abidin Zain.

Bercakap pada sidang media sempena pelancaran itu, Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata Proton yakin Exora mampu mencatatkan prestasi jualan yang baik di Indonesia bersandarkan potensi besar pasaran MPV di republik itu.

Beliau berkata, ketika ini 60 peratus pasaran automotif negara itu dikuasai segmen MPV.

"Justeru, langkah Proton membawa masuk Exora bertujuan memanfaatkan peluang daripada permintaan tinggi terhadap MPV di Indonesia selain menawarkan rakyat republik ini lebih banyak pilihan bagi MPV bermutu tinggi pada harga berdaya saing.

"Bersandarkan kajian, kami yakin MPV keluaran kami amat kompetitif dari segi spesifikasi dan harga berbanding MPV lain di pasaran Indonesia.

"Dalam tempoh dua tahun akan datang, kami menjangkakan republik ini bakal menjadi pasaran eksport terbesar bagi Exora," katanya sambil menambah Exora ketika ini dieksport ke Singapura.

Syed Zainal berkata, dalam tempoh lapan bulan sehingga Mac tahun depan, Proton mensasarkan menjual 1,200 unit Exora di Indonesia, sekali gus meningkatkan jualannya di republik itu kepada 3,000 unit dalam tahun kewangan ini berbanding 1,509 unit tahun kewangan lalu.

Beliau berkata, sasaran itu dijangka mampu dicapai kerana Proton menerusi Pengedar tunggalnya di Indonesia, PT Proton Edar Indonesia sudah menerima 600 tempahan bagi MPV itu sejak prapelancarannya minggu lalu.

Exora adalah model ketujuh dilancarkan Proton di Indonesia selepas Wira, Waja, Savy, Gen2 , Persona dan Saga. Pengeluar kereta nasional itu memasuki pasaran republik itu pada Mac 2007.

Proton Edar Indonesia kini memiliki 17 cawangan jualan dan 20 cawangan khidmat selepas jualan di Indonesia.

No comments:

Post a Comment